13 August 2009

CONCERT MASTER ORKESTRA TRADISIONAL MALAYSIA


SHAMSUL ZIN

Berkelulusan Diploma Seni Muzik, Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dalam bidang Komposisi dan Gubahan pada 2002. Bagi anak kelahiran Bagan Datok, Perak ini, ketika usia muda, dia sudah mengenali dan mempelajari seni muzik tradisional daripada bapanya, iaitu Zin Ngah.

Memulakan kerjaya sebagai Ahli Muzik, Jabatan Seni Persembahan, Telekom Malaysia pada 1996, beliau seterusnya menyertai Istana Budaya sebagai Penyelaras Muzik. Komposer muda berbakat ini pernah mewakili Malaysia ke Kobe, Jepun dengan menyertai Hyogo Asia Pacific of Performing Arts (2003), program Asia Pacific Performance Exchange (APPEX 2004) dengan tajaan biasiswa penuh oleh University of California, Los Angeles, Amerika Syarikat di Bali Indonesia, Jemputan dari Institut Seni Indonesia (ISI) Surakarta untuk mengadakan kolaborasi muzik sebagai komposer / pemuzik dan beliau adalah ahli ASEAN-Korea Traditional Music Orchestra sebagai ketua bahagian Pergendangan.(Prinsipal Section).

Selain berperanan sebagai Penata/Penggubah Muzik dalam Konsert Simfoni Rakyat Malaysia (2004), Konsert Titian Budaya Malaysia – Indonesia di Jakarta (2006), Teater Tari Pentas (2006) dan Konsert Barisan Budi Rakyat Malaysia (2008), Shamsul turut diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik untuk persembahan Konsert Khas Diraja sempena Pertabalan Agong di Istana Budaya 2006,Persembahan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) sempena Hari Seniman Kebangsaan 2008,Teater Muzikal Tun Fatimah 2004,Teater Muzikal Patung Kertas 2008,World Expo 2008 di Zaragoza, Sepanyol,Persembahan kebudayaan di New York, Amerika Syarikat 2008,Pertandingan WCOPA (World Championship of Performing Arts) di Hollywood California, Amerika Syarikat 2008, Persembahan Pembukaan (SUKMA) Sukan Kebangsaan Malaysia 2004 ,Persembahan Pembukaan (FESPIC) Sukan Komenwel Orang Kurang Upaya 2006 ,Pelancaran Pesta Air Kebangsaan 2005,Pelancaran Festival Kesenian Kanak Kanak Kebangsaan 2005,Persembahan Khas Hari Guru Kebangsaan 2005,Drama bersiri ‘Kembalikan Aku Ke Laut, terbitan RTM & DBP 2007 dan banyak lagi.

Antara pencapaian, johan Menifestasi Muzik Asli Kebangsaan (2002), johan Kreatif dan naib johan keseluruhan Eksplorasi Akustika Nusantara (2002) antara IPT tempatan dan johan kategori muzik tradisional Melayu sempena Festival Muzik Kuala Lumpur (2006). Dalam pertandingan muzik peringkat dunia, Shamsul bersama kumpulannya Istamuzika mewakili Malaysia ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk penyertaan World Championships of Performing Arts (2008) dengan kemenangan 3 pingat emas, 2 perak serta 3 anugerah Champion of the World.

Pernah berperanan sebagai penceramah/pensyarah Bengkel Muzik Tradisional Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Bengkel Pergendangan Melayu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Bengkel Manifestasi Muzik Asli di Kota Kinabalu, Sabah.

No comments:

Post a Comment