13 August 2009

CONCERT MASTER ORKESTRA TRADISIONAL MALAYSIA


SHAMSUL ZIN

Berkelulusan Diploma Seni Muzik, Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dalam bidang Komposisi dan Gubahan pada 2002. Bagi anak kelahiran Bagan Datok, Perak ini, ketika usia muda, dia sudah mengenali dan mempelajari seni muzik tradisional daripada bapanya, iaitu Zin Ngah.

Memulakan kerjaya sebagai Ahli Muzik, Jabatan Seni Persembahan, Telekom Malaysia pada 1996, beliau seterusnya menyertai Istana Budaya sebagai Penyelaras Muzik. Komposer muda berbakat ini pernah mewakili Malaysia ke Kobe, Jepun dengan menyertai Hyogo Asia Pacific of Performing Arts (2003), program Asia Pacific Performance Exchange (APPEX 2004) dengan tajaan biasiswa penuh oleh University of California, Los Angeles, Amerika Syarikat di Bali Indonesia, Jemputan dari Institut Seni Indonesia (ISI) Surakarta untuk mengadakan kolaborasi muzik sebagai komposer / pemuzik dan beliau adalah ahli ASEAN-Korea Traditional Music Orchestra sebagai ketua bahagian Pergendangan.(Prinsipal Section).

Selain berperanan sebagai Penata/Penggubah Muzik dalam Konsert Simfoni Rakyat Malaysia (2004), Konsert Titian Budaya Malaysia – Indonesia di Jakarta (2006), Teater Tari Pentas (2006) dan Konsert Barisan Budi Rakyat Malaysia (2008), Shamsul turut diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik untuk persembahan Konsert Khas Diraja sempena Pertabalan Agong di Istana Budaya 2006,Persembahan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) sempena Hari Seniman Kebangsaan 2008,Teater Muzikal Tun Fatimah 2004,Teater Muzikal Patung Kertas 2008,World Expo 2008 di Zaragoza, Sepanyol,Persembahan kebudayaan di New York, Amerika Syarikat 2008,Pertandingan WCOPA (World Championship of Performing Arts) di Hollywood California, Amerika Syarikat 2008, Persembahan Pembukaan (SUKMA) Sukan Kebangsaan Malaysia 2004 ,Persembahan Pembukaan (FESPIC) Sukan Komenwel Orang Kurang Upaya 2006 ,Pelancaran Pesta Air Kebangsaan 2005,Pelancaran Festival Kesenian Kanak Kanak Kebangsaan 2005,Persembahan Khas Hari Guru Kebangsaan 2005,Drama bersiri ‘Kembalikan Aku Ke Laut, terbitan RTM & DBP 2007 dan banyak lagi.

Antara pencapaian, johan Menifestasi Muzik Asli Kebangsaan (2002), johan Kreatif dan naib johan keseluruhan Eksplorasi Akustika Nusantara (2002) antara IPT tempatan dan johan kategori muzik tradisional Melayu sempena Festival Muzik Kuala Lumpur (2006). Dalam pertandingan muzik peringkat dunia, Shamsul bersama kumpulannya Istamuzika mewakili Malaysia ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk penyertaan World Championships of Performing Arts (2008) dengan kemenangan 3 pingat emas, 2 perak serta 3 anugerah Champion of the World.

Pernah berperanan sebagai penceramah/pensyarah Bengkel Muzik Tradisional Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Bengkel Pergendangan Melayu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Bengkel Manifestasi Muzik Asli di Kota Kinabalu, Sabah.

11 August 2009

MOHD YAZID ZAKARIA - KONDUKTOR OTM YANG PERTAMA


Dilahirkan di Klang, Selangor dan mendapat pendidikan muzik di Universiti institut Teknologi Mara (UiTM). Beliau telah bertugas sebagai pemuzik, komposer dan eksekutif muzik di Petronas Performing Arts Group (PPAG) selama 17 tahun sejak tahun 1993. Kini beliau berkhidmat dengan Istana Budaya sebagai Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia dalam usaha memartabatkan muzik tradisional dan peralatan muziknya sehingga ke peringkat antarabangsa. Disamping itu juga beliau merupakan ahli jawatankuasa penubuhan Orkestra Tradisonal Korea ASEAN yang akan membuat persembahan sulungnya di Korea pada Jun 2009.

Beliau telah banyak mewakili negara ke festival antarabangsa seperti Malaysian Jazz Festival (1993) dan ASEAN Symphony Band di Bangkok (1994). Karya beliau dalam Musical Theatre Indraputra telah mendapat Cameronian Arts Award dalm kategori Best Original Composition tahun 2002.

Yazid telah dilantik sebagai pengarah muzik dalam dance-drama Raja Sakti yang pertama kali dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas (DFB) pada tahun 1998. Sejak itu beliau banyak kali dilantik menjadi pengarah muzik seperti Puteri Gunung Ledang (1999), Lambang Sari dan Malim Deman (2000), Hanuman (2001), Mahsuri (2003) dan Semerah Padi (2008)

Hasil karya beliau juga banyak dipentaskan di Istana Budaya seperti Tari Sembah Warisan (Konsert Geeta Gangsa), Lodeh Mak Lodeh (Konsert Simfoni Tradisional), Halaman Mahkota (Citra Budaya), Konsert Nur dan dramatari Malim Deman dimana beliau adalah pengarah muziknya.

Pada tahun 2004 beliau telah mengilhamkan sebuah konsert muzikal Satu Rentak dimana beliau bertindak sebagai pengarah yang menggabungkan alat muzik tradisional melayu dan barat. Pada tahun berikutnya sebuah lagi konsert muzikal Rhapsody Malaysia menggabungkan alat muzik tradisional Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak dimana komposisi beliau Cak Pak Ting Doh menampilkan muzik orang asli (Peribumi) Malaysia.

Tahun 2005, beliau terlibat dalam teater muzikal Uda dan Dara sebagai pengarah muzik di bawah pengarah terkenal negara, Dato’ Rahim Razali karya seniman negara Dato’ Usman Awang yang dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas dimana telah mendapat sambutan sungguh menggalakkan. Pada tahun 2007 beliau terpilih ke peringkat akhir “MPO Forum for Mlaysian Composers 2” dan diberi peluang untuk menulis dan menggubah lagu untuk MPO (Malaysian Philharmonik Orchestra) iaitu Mahsuri, “Heritage” dan Angin.

Beliau merupakan orang melayu pertama diberi peluang memimpin orkestra Tradisional Cina sebagai Konduktor dan komposer jemputan Konsert Amal Maharaja untuk mengutip dana bagi mangsa-mangsa gempa bumi di SiChuan, China yang diterbitkan oleh “Professional Culture Centre Orchestra” (PCC) di Istana Budaya (2008) dan pada Oktober 2008 sekali lagi beliau memimpin orkestra tradisional cina sempena festival antarabangsa orkestra muzik Cina yang dianjurkan oleh HKCO bersama “The Hong Kong Chinese Instrumental Music Association” di “Hong Kong Cultural Centre Concert Hall”.

PENUBUHAN ORKESTRA TRADISIONAL MALAYSIA DAN CABARANNYA

Pada 28 Apri 2007, saya berlepas ke Seoul Korea bagi mengikuti satu program khusus menjurus kepada pembangunan muzik tradisional Asia. Adalah sangat jelas bahawa tujuan kerajaan Korea menganjurkan program sebegini adalah untuk menjadi peneraju di dalam pengkhususan kajian muzik tradisional (Musicology) di peringkat Asia. Program ini dipelopori oleh 2 orang Professor (Musicologist) terkenal Korea. Saya mengambil kesempatan daripada program ini untuk menjalankan kajian secara peribadi untuk mempelajari dan memahami sistem yang digunakan diKorea untuk membangunkan muzik tradisionalnya. Empat pemuzik tradisional professional daripada Orkestra Mongolia jua bersama-sama saya di dalam program ini, bekerjasama dengan mereka, saya dapat mempelajari tentang system yang digunakan di Mongolia. Sekembalinya saya ke tanahair pada November 2007, dengan menggunakan maklumat yang saya perolehi , saya telah mengemukakan satu kertas cadangan tentang penubuhan Orkestra Tradisional Malaysia. Berdasarkan kertas cadangan itu, satu sesi percambahan fikiran telah diadakan di Awana Golf & Country Resort Genting Highlands pada 20-22 Januari 2008 bersama penggiat muzik tradisional tempatan untuk membincangkan hasrat penubuhan Orkestra ini. Kini En Mohd Yazid Zakaria telah pun di lantik sebagai Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia yang pertama.

Perbincangan yang telah diadakan di Genting membicarakan tentang kaedah yang digunakan di Korea bagi membangunkan muzik tradisionalnya. Saya telah menjelaskan bahawa negara Korea menggunakan 2 kaedah asas iaitu pemuliharaan dan pembangunan. Apa yang dikatakan sebagai pemuliharaan adalah mengekalkan secara asli bentuk muzik tradisional mereka dari semua segi seperti teknik permainan alat, bentuk alat muzik, jumlah pemuzik dalam satu-satu ensemble, bentuk muzik yang dimainkan serta bahasa yang digunakan. Untuk mencapai rancangan itu, penggiat serta ahli akademik muzik tradisional Korea telah diberi ruang khusus di The National Center for Korean Traditional Performing Arts untuk mengekalkan warisan mereka melalui kajian, penerbitan buku-buku akademik, penerbitan CD dan DVD, laman web serta persembahan tradisional di sebuah panggung khusus di organisasi ini. Organisasi ini juga ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Korea.

Manakala pembangunan pula menumpukan kepada pembaharuan yang boleh dilakukan terhadap muzik Korea. Contohnya dengan apa yang saya alami sendiri bersama Orkestra Kebangsaan korea (Tradisional) yang ditempatkan di National Theater of Korea ( Semasa saya mengikuti program tersebut saya telah ditempatkan bersama orchestra ini). Di dalam pemerhatian dan kajian yang saya lakukan saya dapati bahawa pengkaji muzik tradisional Korea menerapkan sistem muzik barat (Orkestra Simfoni) di dalam perancangan mereka. Alat muzik tradisional korea yang digunakan di dalam Orkestra ini telah diubah untuk disesuaikan bagi memudahkan pemuzik membaca notasi barat. Struktur organisasi juga menggunakan system barat sepenuhnya seperti penggunaan Konduktor, Concert Master dan sebagainya. Alat muzik perkusi korea juga telah diubah untuk disesuaikan seperti di dalam sebuah Orkestra simfoni. Pemuzik pula telah dilatih dari awal lagi di Pusat pengajian Seni Korea bagi memahirkan diri bermain alat muzik tradisional korea menggunakan Notasi Barat. Penggubah muzik Korea juga telah didedahkan dengan muzik berbentuk simfoni yang lebih menggunakan teknik penulisan muzik juga berasal dari barat namun mereka sentiasa mencari jalan supaya identity muzik Korea sentiasa dikekalkan. Namun pemuzik tradisional ini juga sebenarnya mahir dan amat berpengetahuan tentang muzik tradisional asal Korea. Orkestra ini ditubuhkan pada 1994 dan kini hasilnya Negara Korea boleh berbangga dengan muzik tradisional yang telah dinaik taraf ini dengan mengadakan berbagai-bagai bentuk Konsert ke serata dunia.

Di korea juga saya berpeluang untuk menonton beberapa Konsert Orkestra Tradisional daripada Negara selain Korea seperti Mongolia dan China. Daripada maklumat yang saya perolehi, Negara China dan Mongolia telah terlebih dahulu membuat perubahan kepada struktur muzik tradisionalnya iaitu sejak 1950an lagi. Negara ini juga menjadikan Orkestra Simfoni barat sebagai asas kepada pembangunan muzik mereka. Jika kita lihat di Malaysia, konsep pemuliharaan dan pembangunan juga belum difahami sepenuhnya oleh penggiat muzik tradisional kita. Seringkali terdapat perbezaan pendapat dan perbalahan tentang bentuk muzik tradisional yang sebenar dikalangan penggiat sendiri. Buku-buku tentang muzik tradisional juga amat sedikit jumlahnya. Penggiat yang aktif juga semakin meningkat umur dan berkurangan jumlahnya . Pada waktu yang sama tiada institusi khusus yang membuat kajian tentang aspek pemuliharaan mahu pun pembangunan muzik tradisional Malaysia. Oleh itu, saya membuat kesimpulan bahawa Negara kita amat jauh ketinggalan dari segi pemuliharaan dan pembangunan muzik tradisional jika dibandingkan dengan negara-negara seperti China, Mongolia dan Korea.

Penubuhan Orkestra Tradisional Malaysia merupakan sebuah perancangan strategik bagi merangsang aspek pembangunan muzik tradisional Malaysia. Di samping itu juga dapat menyemarakkan hubungan yang lebih positif dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui muzik tradisional. Sebenarnya Malaysia kaya dengan khazanah muzik yang berbagai bentuk dan asal usulnya. Cuma yang menjadi kekurangan adalah kaedah sesuai bagi menyelaras dan menyatukan kesemua alat muzik ini. Semasa perbincangan di Genting, semua ahli bersetuju untuk mengadaptasi system yang digunakan di China, Mongolia dan Korea.

Perancangan jangka panjang adalah perlu namun kita tidak dapat menunggu terlalu lama untuk merealisasikan penubuhan Orkestra ini dengan tahap yang tinggi. Ketika ini En Ruslan Harun telah berjaya mengemukakan prototaip rebab moden (dipanggil Rebab OTM) yang mana rebab ini telah diubahsuai supaya boleh dimainkan bersama notasi muzik barat. Manakala En Yazid Zakaria pula telah pun mula mengumpul beberapa pemuzik tradisional sedia ada yang boleh membaca notasi Barat untuk diserapkan ke dalam Orkestra ini memainkan beberapa alat muzik tradisional. Beberapa perbincangan dan cadangan telah pun dilakukan untuk memilih alat muzik tradisional yang bersesuaian untuk diserapkan ke dalam Orkestra tradisional ini. Daripada perbincangan ini, alat muzik tradisional Malaysia akan dipecahkan kepada beberapa bentuk kumpulan iaitu Bertali Digesek (Rebab, erhu, gaohu dsb), Bertali dipetik (Gambus, Sitar, sape dsb), Tiupan (Seruling, Serunai dsb), Gongan (Gamelan, Caklempong, Kulintangan dsb), ducime ( Yanqin) dan Perkusi. Gubahan muzik akan menggunakan notasi muzik barat sepenuhnya. Walau pun bukan semua pemuzik sedia ada boleh membaca notasi muzik barat tetapi tradisi ini harus dimulakan dari sekarang lagi. Beberapa penggubah muzik juga telah menunjukkan minat untuk memberi tumpuan kepada penulisan muzik tradisional yang berbentuk Simfoni yang menggunakan alat muzik Orkestra Tradisional Malaysia.

Walau pun usaha-usaha ini adalah dalam jangka masa pendek, sokongan Kementerian adalah amat ditagih bagi merealisasikan perancangan jangka panjang seperti penjadualan Konsert khusus untuk Orkestra ini bagi setiap bulan, tajaan kepada ahli musicology tempatan untuk membuat kajian tentang identity muzik Malaysia dan seterusnya dibukukan supaya menjadi rujukan kepada semua yang berminat untuk menyertai Orkestra ini dan jawatan khusus kepada ahli muzik tradisional yang bersesuaian dengan tahap gaji setaraf dengan ahli muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan sedia ada. Insitusi Pengajian Tinggi yang mempunyai Fakulti muzik juga diharapkan dapat membantu menyediakan latihan yang bersesuaian untuk melatih bakal pemuzik tradisional yang pakar dalam permainan alatnya. Namun begitu usaha ini sudah pasti memerlukan sokongan pelbagai pihak dan juga kesungguhan Kementerian untuk menyalurkan dana yang bersesuaian.

Sepanjang tahun 2008 juga memperlihatkan bahawa Orkestra ini telah Berjaya mengadakan beberapa persembahan seperti di Esplanade singapura di dalam Titian Budaya Singapura, Konsert bersempena hari seniman yang pertama di PWTC dan Konsert sempena Mesyuarat ahli parlimen Komanwel 2008. Walau pun konsert ini hanya bersifat hiburan, namun ia telah membuka mata banyak pihak tentang kewujudan dan potensi yang ada dengan Orkestra ini. Terutama apabila melihatkan penglibatan pelbagai alat muzik dan ahli muzik yang berbilang bangsa di Malaysia. Dengan wujudnya Orkestra ini nanti pasti akan membantu kerajaan dalam mempromosikan hubungan yang baik di antara rakyat berbilang bangsa di Malaysia.

Diharapkan supaya Orkestra Tradisional Malaysia ini nanti mengecapi kejayaan seperti yang telah dinikmati oleh Orkestra Tradisional Korea . Mutu muzik mereka juga amat dihormati oleh pengkaji muzik dari benua lain. Pada waktu yang sama Negara Korea dapat mempromosikan muzik mereka melalui Orkestra sebegini. Jelas di Negara kita lebih mengutamakan muzik berbentuk hiburan namun muzik berbentuk Simfoni juga perlu kita tumpukan bagi menaiktaraf muzik tradisional Malaysia. Dengan kejayaan Orkestra Tradisional Malaysia nanti lebih banyak faedah yang boleh dinikmati oleh negara amnya. Semoga sokongan dari semua dapat membantu menjayakan penubuhan Orkestra Tradisional Malaysia.

04 August 2009

Orkestra Tradisional Malaysia

Perjuangan memartabatkan muzik tradisional akan diteruskan, walaupun majlis pelancaran yang sepatutnya berlangsung 1 Ogos yang lalu telah ditunda dan persiapan yang telah dilakukan sejak Jun lagi....Ahli Muzik Orkestra ini tekad meneruskan latihan setiap minggu pada hari selasa...8.30 malam. Semua sebulat suara telah bersetuju untuk meneruskan sokongan....Terima Kasih...